31.8.12

Sultan Muhammad Al-Fateh – Contoh Kepimpinan Islam


Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq:
“…Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera…” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
 Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Konstantinopel untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, lima kempen di zaman Kerajaan Umaiyyah, satu kempen di zaman Kerajaan Abbasiyyah dan dua kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyyah.
Dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umaiyyah, seorang sahabat Nabi SAW iaitu Abu Ayyub Al-Ansary RA telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi SAW.
Hadis Nabi SAW ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dengan 150,000 orang tenteranya.
Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah kehebatan baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” dalam hadis tersebut?
Biodata Ringkas
Baginda Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al-Fateh kerana kejayaannya membebaskan Konstantinopel.
Baginda menaiki takhta ketika berusia  19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen ketenteraan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 akibat sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat baginda mangkat diracun.


Pendidikan
Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al-Wali dikatakan daripada keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang taktik peperangan,  memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.
Dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Dalam bidang ilmu pemerintahan pula, ayahandanya Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini baginda telah matang menangani tipu helah musuh.
Keperibadian
Baginda sentiasa bersifat tawaduk. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamadan selalu berbincang dengan mereka mengenai permasalahan negara.
Persiapan Awal Membebaskan Konstantinopel
Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Kostantinopel setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.
Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Konstantinopel apabila diserang nanti.
Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Konstantinopel, baginda mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.
Melancarkan Seragan ke atas Konstantinopel
Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan Raaja Bizantin menyerah mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.
Menara Bergerak
Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.
Bantuan Dari Pope Vatican
Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.
Melancarkan Kapal Perang dari Puncak Gunung
Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan(warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.
Kapal-kapal perang tentera Bizantin habis terbakar dek bedilan meriam Uthmaniyyah. Pertahanan Bizantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada hadis Rasulullah SAW dan bersama-sama berdoa kepada Allah SWT.
Memanjat dan Melastik Dinding Kota
Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Bizantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengah hari.
Karisma Seorang Pemimpin
Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan  telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku”.
Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Bizantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.
Penawanan Constantinople
Pada 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St. Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al-Fateh” iaitu yang bermaksud “pembuka” atau “penakluk” lantaran kejayaannya membebaskan Konstantinopel.
Sebaik-baik Raja dan Sebaik-baik Tentera
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali, sila duduk!” Tiada seorang pun yang duduk, kerana  tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!” Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!” Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh. Baginda sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya itu.
Dinihari kita cukup ketandusan pemimpin yang berjiwa rakyat serta berkarisma seperti Sultan Muhammad Al-Fateh untuk mengembalikan ketamadunan dan kegemilanagan ISLAM ini kembali. Ayuh, kita mulakan langkah menakluk diri seperti mana Sultan Muhammad Al-Fateh telah berusaha menakluk kota hebat Konstantinopel.
Persoalannya, adakah lagi pemimpin islam seperti ini di zaman ini?


30.8.12

Contoh-Contoh Akhlak Rasulullah SAW


Rasulullah s.a.w. itu adalah manusia yang amat toleran, amat berani, amat adil dan amat bersopan-santun sekali. Tangannya tidak pernah sama sekali menyentuh tangan wanita ajnabiah (asing) yang bukan miliknya sebagai hamba sahaya atau yang mempunyai hubungan pernikahan dengannya ataupun yang bukan mahramnya.
Baginda amat murah hati orangnya. Tidak pernah Baginda tidur selagi ada dalam tangan Baginda sedinar ataupun sedirham. Bila ada kelebihan wang dalam tangannya dan tiada pula sesiapa yang hendak diberikannya sehingga malam tiba, maka Baginda tidak akan kembali ke rumahnya, melainkan sesudah Baginda menemui orang yang berhajat untuk diberikan wang yang lebih itu kepada orang tersebut.
Baginda tiada mengambil rezeki yang dikurniakan oleh Allah Ta’ala lebih dari keperluan makan-minum untuk setahun saja. Selebih dari rezeki-rezeki itu Baginda letakkan untuk fisabilillah. Tidak pernah dimintai sesuatu darinya, melainkan Baginda memberinya.
Apabila habis, Baginda akan mengambil pula dari simpanan makanan keluarganya sendiri lalu memberikan kepada orang yang berhajat, sehingga seringkali belum sempat selesai akhir tahun, makanan itu akan kehabisan, lalu Baginda terpaksa meminjam pula dari orang lain untuk mencukupi keperluannya sendiri.
Bagindalah sendiri yang menjahit kasutnya bila putus dan menampal bajunya bila koyak. Baginda suka membantu ahli rumah dalam pekerjaan rumahtangganya.
Baginda amat pemalu orangnya tidak pernah menatap wajah orang lama-lama. Baginda menyahut undangan orang yang merdeka dan hamba sahaya. Baginda menerima hadiah tidak kira pun apa pun, walaupun hanya seteguk air susu, dan sering membalas hadiah itu dan memakannya. Tetapi baginda tidak memakannya dari pemberian sedekah. Baginda tidak pernah merasa dirinya rendah bila memenuhi keperluan hamba sahaya wanita ataupun seorang miskin.
Baginda amat marah sekali jika hak Allah dicabul, tetapi tidak marah pula, jika haknya sendiri dilanggar.
Pada suatu kali, seorang sahabatnya terbunuh di kawasan perkampungan Yahudi, Baginda tidak membalas dendam terhadap kaum Yahudi, tetapi Baginda menghukum menurut yang hak; iaitu mendenda mereka membayar fidyah sebanyak 100 ekor unta betina tidak lebih dari itu. Padahal para sahabat ketika itu, sangat berhajat kepada tambahan sekalipun seekor lagi untuk dijadikan makanan bagi menguatkan diri mereka.
Baginda sentiasa mengikat batu di perutnya untuk menahan lapar. Bila makan tidak pernah cerewet, tetapi makan apa yang disediakan saja dan tidak pernah menolak.
Kiranya makanan yang dihidangkan itu hanya buah tamar tanpa roti, baginda makan juga. Kiranya yang dihidangkan itu daging panggang, makan juga. Ataupun jika roti gandum atau roti syair, makan juga. Ataupun manisan saja atau madu, makan juga. Ataupun susu semata-mata tanpa roti, minum juga. Jika diberikan semangka ataupun kurma mengkal, makan juga.
Tidak pernah bersandar di waktu makan ataupun memasang meja untuk meletakkan makanan. Tidak pernah kenyang dari roti gandum selama tiga hari berturut-turut, sehingga wafat menemui Allah Ta’ala. Ini semuanya dilakukan semata-mata kerana mementingkan diri orang lain dari diri sendiri bukan kerana fakir atau kikir.
Adapun peribadi Rasulullah s.a.w. itu seorang yang amat tawadhu’ (merendah diri) amat pendiam bukan sombong, amat fasih dalam tutur kata tanpa banyak bicara amat sempurna dan elok paras rupanya. Tidak pernah menganggap penting sesuatu pun dari urusan keduniaan.
Cincinnya terbuat dari perak, yang dipakainya di jari kelingking kanan dan kiri. Baginda mengenderai keledai dan membenarkan di belakang keledai itu dibuncingi oleh hamba sahayanya ataupun orang lain.
Selalu melawat pesakit-pesakit meskipun rumahnya jauh dipinggir kota, suka kepada yang baik, sering duduk bersama-sama fakir-miskin, memberi makan kepada orang miskin. Baginda menghormati orang-orang yang terutama, sentiasa memuliakan orang-orang yang dimuliakan dengan berbakti kepada mereka.
Baginda Rasulullah s.a.w. sentiasa berhubung dengan kaum kerabatnya, tidak pernah mengecewakan sesiapapun, selalu menerima alasan orang yang memberikan keuzuran, suka bergurau-senda, tetapi tidak berkata melainkan yang hak saja, tertawanya setakat senyum saja tanpa mengilai.
Baginda tidak pernah mengingkari permainan-permainan yang mubah (harus) yang dibolehkan oleh agama, pernah berlumba lari dengan isterinya. Ada kalanya setengah-setengah orang tidak bertimbang rasa mengangkat suara di hadapan Baginda, tetapi Baginda tetap bersabar saja.
Tidak pernah makanan atau pakaian Baginda lebih baik dari makanan dan pakaian hamba sahayanya. Tidak pernah berlalu suatu masa pun tanpa membuat sesuatu pekerjaan yang diredhai Allah, ataupun pekerjaan lain yang perlu untuk membetulkan diri sendiri.
Baginda selalu bersiar-siar di kebun-kebun sahabat-sahabatnya. Tidak pernah menghina-hinakan orang miskin kerana kemiskinannya. Tidak gentar kepada raja kerana kekuasaan atau kerajaannya. Baginda menyeru yang rendah dan yang tinggi kepada Allah Ta’ala dengan seruan yang sama.
Allah Ta’ala telah melengkapkan peribadi Rasulullah s.a.w. dengan kelakuan yang tinggi dan siasah yang sempurna, padahal Baginda itu seorang yang ummi, tidak pandai membaca atau menulis. Baginda dibesarkan di negeri yang masih dibelenggu oleh kejahilan dan dikelilingi oleh padang pasir, hidup dalam keadaan miskin dan sebagai penggembala kambing, seorang anak yatim tiada berayah dan tiada beribu. Tetapi Allah Ta’ala telah mendidik baginda dengan sifat budi pekerti yang luhur dan perjalanan yang terpuji.
Diceritakan kapada Baginda berita-berita orang yang terdahulu dan yang akan datang untuk diambil pelajaran daripadanya. Dijadikan sempadan bagi keselamatan dan kemenangan di Hari Akhirat serta tauladan bagi kebahagiaan dan jalan keluar di dalam dunia.
Moga-moga Allah mengurniakan petunjuk kepada kami untuk menurut segala perintah Rasulullah s.a.w. dan mencontohi segala tauladan dalam perbuatan dan perilakunya, Amin Ya Rabbal Alamin.


28.8.12

Baitul Ateeq: Keajaiban Dunia Yang Terunggul Sepanjang Zaman!




Sejak zaman berzaman, ahli sarjana masyarakat barat begitu mengagung-agungkan hasil-hasil binaan yang disifatkan sebagai lambang ketamadunan yang maju dan menyenaraikannya sebagai salah satu keajaiban dunia.
Sejak dari kecil, kita dimomokkan bahawa Tembok Besar di China, Taman Tergantung Babylon di sempadan Iraq, Piramid Giza di Mesir, Taj Mahal di India, Candi Borobodur di Pulau Jawa, Angkor Watt di Kemboja dan Menara Condong Pisa di Itali sebagai tujuh benda ajaib di dunia.
Namun, tidakkah terlintas di fikiran kita bahawa rumah Allah, Kaabah, merupakan satu keajaiban dunia yang tiada tolok bandingnya dan tidak pun disenaraikan oleh sarjana-sarjana itu berbanding keajaiban-keajaiban lain.
Menurut golongan ulama dan pakar sejarah Islam, Kaabah yang terletak di dalam kawasan Masjidil Haram di Mekah pertama kali dibina di atas dunia oleh manusia pertama yang diturunkan Allah di muka bumi ini iaitu Nabi Adam AS.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran Al-Karim dan diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA bahawa Nabi Adam mengerjakan tawaf di keliling Kaabah sebanyak 40 kali.
Selain itu, Kaabah yang juga digelar sebagai Baitullah atau Baitul Ateeq itu dikatakan telah dibina semula sebanyak 11 kali lagi dan di antara yang membinanya ialah Nabi Syith AS, Nabi Ibrahim AS, kaum Amaliqah, kaum Jurhum, Qusai Ibnu Qilab, dan datuk kepada Rasulullah SAW, Abdul Muttalib Ibnu Hasyim.
Kaabah yang dilanda banjir besar pada tahun 605 Masihi telah dibina oleh empat ketua suku kaum Quraisy bersama Muhammad SAW Al-Amin yang meletakkan posisi batu Hajarul Aswad ketika Baginda berumur 35 tahun, lima tahun sebelum diangkat menjadi Rasul.
Seterusnya, rumah Allah itu juga pernah dibina oleh seorang sahabat, Abdullah Ibnu Zubair RA pada tahun 64 Hijrah, Hajjaj Ibnu Yusuf At-Thaqafi pada tahun 74 Hijrah dan Sultan Murad Khan pada tahun 1040 Hijrah.
Menurut reka bentuk Kaabah ketika di bina oleh Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS, rumah Allah itu berukuran 48 kaki 6 inci bagi Dinding Timur, Dinding Barat 46.5 kaki, Dinding Hatim 33 kaki, manakala dinding antara Hajarul Aswad dan sudut Yamani adalah 30 kaki.
Binaan suci ini yang berbentuk kubus berukuran 12 x 10 x 15 meter itu, mencetus keajaiban teragung apabila jutaan umat Islam di dunia sujud kepadaNya setiap saat dan masa sejak di zaman Rasulullah SAW lagi.
Antara keajaiban Kaabah yang tiada pada benda keajaiban dunia lain ialah sebiji batu besar yang asalnya berwarna putih dan dinamakan sebagai Hajar Al-Aswad yang bermakna ‘batu yang berwarna hitam’ setelah batu yang dikatakan dibawa dari syurga itu bertukar ke warna hitam kemudiannya.
Selain itu, Kaabah turut dibina dengan ‘pakej ajaib’ dengan melengkapkan binaan itu dengan sebuah telaga Zam-Zam yang bermaksud ‘berkumpullah..berkumpullah’, yang tidak pernah kering-kering sejak dibina sejak di zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail lagi.
Memakmurkan rumah Allah, puluhan juta umat Islam akan berkumpul mengelilingi Kaabah bagi menunaikan rukun Islam kelima, menunaikan haji, di mana hanya mereka-mereka yang terpilih sahaja yang akan mendapat ‘surat jemputan’ dari Allah SWT sebagai ‘tetamu’Nya setiap tahun.
Subhanallah! Beruntunglah kepada sesiapa yang pernah mendapat ‘surat jemputan’ itu untuk menjadi tetamu Allah di rumahNya memandangkan ramai yang kaya raya dan berkemampuan pun tidak pun bernasib baik menerima ‘surat’ itu.
Semoga kita semua, umat Islam, diberikan kemudahan dan lorongan dari Allah untuk menjadi tetamuNya sebelum uzur dan ajal menjemput kita menemuinya. Wallahua’lam.

Subhanallah! Fenomena Awan Berlubang




Fenomena ini dikenali sebagai Punch Hole Cloud atau Fallstreak. Ia berlaku apabila suhu air pada awan berada dibawah takat beku namun masih belum membeku kerana kekurangan ice nucleation particles.
Apabila sedikit particle air mula membeku, ia akan menyebabkan efek domino yg menyebabkan wap air di sekelilingnya turut membeku dan jatuh turun ke bumi. Ini menyebabkan wujudnya lubang besar pada awan cirrocumulus atau altocumulus. Jom lihat gambar di bawah ini.
Bagi pihak pengkaji barat, setiap kejadian yang berlaku di atas muka bumi sememangnya menggunakan logik akal berdasarkan kajian yang dilakukan. Ternyata kejadian Allah SWT ini mempunyai hikmah yang tersendiri dan memberi peluang kepada para pengkaji mencari rahsia di sebaliknya.






7 Gangguan Syaitan Ketika Sakaratul Maut!






Iblis dan Syaitan akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut.
Syaitan mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.Hadith Rasulullah s.a.w.. menerangkan:Yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan Syaitan di waktu maut.”
Rombongan 1
Akan datang Syaitan dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat.
Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Syaitan itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah s.w.t. inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.
Rombongan 2
Akan datang Syaitan kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati.
Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah s.w.t., matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.
Rombongan 3
Akan datang Syaitan mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba (judi).
Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah s.w.t.. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.
Rombongan 4
Akan datang Syaitan merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya
Rombongan 5
Akan datang Syaitan merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Syaitan,
berkata dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.”
Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.
Rombongan 6
Akan datanglah Syaitan merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu.” Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali.
Lalu datanglah pula Syaitan yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?”
Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu.”
Berkata ulamak Syaitan: “Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah s.w.t. hendaklah kamu patuh kepada kami.”
Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Syaitan bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu:
“Bagaimanakah Zat Allah?” Syaitan merasa gembira apabila jeratnya mengena .
Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu. “
Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.
Berkata Syaitan: “Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah.”
Berkata orang yang dalam sakaratul maut: “Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya.
Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini.”
Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.
Rombongan 7
Rombongan Syaitan yang ketujuh ini Syaitan terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad s.a.w. bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat.
Ketahuilah bahawa Syaitan itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Syaitan dan Iblis yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut.
Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah.”

Misteri Mumia Menjerit




SEJARAH Mesir purba sememangnya sinonim dengan kewujudan piramid dan firaun. Penyelidikan berterusan yang dijalankan ahli pakar arkeologi negara itu berjaya membongkar pelbagai kisah dalam sejarah keagungan Mesir purba yang mengagumkan.
Ahli sejarah Mesir juga tidak ketinggalan menjalankan pelbagai kajian firaun bagi mencari jawapan kepada pelbagai misteri yang wujud di sebalik setiap mumia yang ditemui. Satu daripada kajian terbaru dijalankan ke atas mumia yang ditemui pada 1881 dan kini ditempatkan di Muzium Mesir di Kaherah berjaya membantu sekumpulan ahli kaji purba menghimpun sebuah kisah cubaan membunuh, komplot menjatuhkan raja dan bunuh diri.
Analisis mendapati Mumia Mesir yang ditemui dengan wajah yang membayangkan kesakitan amat sangat itu dipercayai mumia Putera Pentewere, suspek yang disyaki merancang pembunuhan ayahandanya, Firaun Ramses III.
Mumia berkenaan dikenali sebagai ‘Mumia Menjerit’ dan ‘Lelaki E Yang Tidak Diketahui’ berikutan rahangnya yang terbuka luas dan wajah kesakitan yang ditunjukkan, membingungkan penyelidik sejak ia ditemui kali pertama dan hinggalah selepas hampir 130 tahun berlalu.
“Kami percaya ada dua tindakan bertentangan hendak dilakukan ke atas mumia ini, satu pihak cuba menghapuskannya dan satu lagi cuba menyelamatkannya,” kata Dr Bob Brier, seorang ahli kaji purba yang menjalankan pemeriksaan dan kajian ke atas mumia itu tahun ini.
Ketika ditemui di lembah Deir El Bahri, 460 kilometer ke selatan Kaherah, mumia berkenaan berada dalam keadaan yang menyayat hati dengan kedua-dua belah tangan dan kakinya diikat ketat, terlalu ketat sehingga bekas ikatan jelas kelihatan. Wajah mumia itu berkerut dan mulutnya terbuka seolah-olah menjerit kerana kesakitan yang amat sangat.
Beberapa ahli kaji purba sebelum ini mengemukakan satu teori mengenai punca kematian mumia itu dengan berkata putera berkenaan mungkin ditanam hidup-hidup atau diracun, atau mungkin seorang Putera yang dikenali dengan nama Hitite dan hidup pada zaman Firaun Tutankhamen.
‘Mumia Menjerit’ itu bagaimanapun bukan Putera Hitite berikutan beliau berkemungkinan besar tidak dimumiakan.
“Mereka tidak akan memumiakan putera itu jika mereka membunuhnya, sebaliknya mereka akan menghapuskan mayatnya,” kata Brier, sambil menambah teori bahawa putera itu diracun atau dipaksa meminum racun tidak ditolak.
Satu dokumen papirus yang ditemui menceritakan mengenai satu perbicaraan ke atas permaisuri Firaun Ramses III, yang dijalankan pada abad ke 12 Sebelum Masihi (SM). Beliau didakwa bersubahat membunuh suaminya untuk digantikan dengan Putera Pentewere.
Komplot itu bagaimanapun segera dibongkar dan mereka yang bertanggungjawab dijatuhi hukuman mati.
Putera Pentewere terlepas hukuman mati berikutan kedudukannya sebagai putera raja, sebaliknya beliau dibenarkan membunuh diri dengan meminum racun.
Keadaan Mumia Menjerit menunjukkan kematian berlaku secara tidak hormat dan ia mungkin membayangkan bentuk hukuman yang diterima Pentewere, jika kisah konspirasi itu benar.
“Kami menemui mumia ini dibalut dengan kulit kambing. Bagi orang Mesir purba, kulit kambing bermakna beliau tidak suci. Beliau melakukan sesuatu yang jahat di dalam hidupnya,” kata Ketua Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir Dr Zahi Hawass.
“Pentewere mungkin dijatuhi hukuman mati dengan disuruh meminum racun selepas komplot pembunuhan itu berjaya dibongkar,” kata Hawass dan Brier.
Mumia Menjerit juga ditemui tanpa tanda makam dan ini akan menghalangnya daripada sampai kepada kehidupan selepas mati, dipercayai satu lagi hukuman tambahan kepadanya kerana bersubahat dalam cubaan membunuh bapanya sendiri.
Bagaimanapun, Brier berpendapat Pentewere mungkin dimumiakan secara tergesa-gesa kerana otak dan organ dalamannya tidak dikeluarkan, malah mayatnya juga tidak cukup kering. Selain itu kaedah yang digunakan untuk memumiakannya juga amat kasar.
“Selepas otak dikeluarkan, damar akan dimasukkan ke dalam rongga tengkorak, tetapi dalam kes Mumia Menjerit, kajian menunjukkan damar tidak dituangkan ke dalam tenggoroknya. Ia seolah-olah menunjukkan kerja memumiakan Pentewere dilakukan separuh hati atau kerana terdesak,” katanya.
Persoalan timbul mengenai kenapa mayat Pentewere tidak dibuang begitu saja tanpa dimumiakan?
“Seseorang yang berpengaruh mungkin bersimpati dan mahu mayat Pentewere dimumiakan dan tidak dihapuskan begitu saja.
“Atas sebab tertentu, ada pihak yang mahu memastikan Pentewere tidak menemui kehidupan selepas mati dan satu pihak lagi, seseorang yang bersimpati terhadapnya, menentang cubaan itu,” katanya.
Sementara itu, sekumpulan ahli arkeologi lain berkata anggapan Mumia Menjerit adalah Putera Pentewere masih satu spekulasi dan setakat ini hanya ujian imbasan dijalankan ke atas mumianya.
Hawass berkata, beliau bercadang menjalankan ujian DNA untuk mengesahkan hubungan Mumia Menjerit dengan Ramses III.

16.8.12

Enggan urus jenazah bapa




JOHOR BAHRU: Dua anak bukan saja tidak mengendahkan kematian bapa berusia 80 tahun di Pusat Warga Emas Nur Ehsan Kempas di sini, dengan alasan sibuk berpuasa malah hanya datang dua hari kemudian bagi menuntut kad pengenalan arwah kerana warga emas itu dikatakan memiliki 10 unit rumah sewa sekitar bandar raya ini.
Kejadian yang berlaku pada 27Julai lalu didedahkan Pengurus Pusat Warga Emas Nur Ehsan, Norijah Bidin, semalam.
“Dua beradik berusia 40-an dan 50-an terbabit tidak menghiraukan jenazah bapa mereka sebaliknya hanya berminat menuntut dokumen pengenalan diri arwah yang hanya dikenali sebagai Pak Salleh itu.
“Dua beradik terbabit, seorang lelaki serta seorang perempuan dari Kampung Melayu juga Tampoi,” katanya, semalam.
Menurut Norijah, sebelum ini, kedua-dua anak Pak Salleh yang bekerja di syarikat swasta di sekitar bandar raya ini kerap memberi alasan sibuk bekerja hingga tidak dapat mengunjungi warga emas itu atau membawanya pulang setiap Aidilfitri sejak lima tahun lalu. Katanya, dua beradik itu tetap memberi alasan sama ketika pihaknya memaklumkan berkaitan keadaan kesihatan Pak Salleh yang semakin terjejas akibat sakit tua.
“Sebelum ini kami sangka mereka memang sibuk bekerja hingga gagal menjenguk Pak Salleh namun tidak menduga mereka sanggup lepas tangan berkaitan pengurusan pengebumian arwah bapa kandung,” katanya.
Menurut Norijah, Pak Salleh meninggal dunia pada jam 7 petang, 27 Julai lalu sebelum pihaknya menghubungi dua beradik terbabit untuk memaklumkan perkara berkenaan.
“Mereka langsung tidak sayu dengan berita menyedihkan itu sebaliknya menyatakan sedang sibuk berbuka puasa bersama keluarga,” katanya.
Menurut Norijah, dia yang kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab dua beradik itu melaporkan kejadian di Balai Polis Bukit Kempas, namun kedua-dua anaknya masih gagal menguruskan pengebumian Pak Salleh.
“Malah mereka sanggup membayar sejumlah wang kepada kami untuk mengebumikan Pak Salleh,” katanya.
Menurut Norijah, dua hari selepas kematian bapa, anak perempuan arwah mengunjungi pusat jagaan berkenaan menuntut kad pengenalan arwah bapanya kerana mendakwa Pak Salleh memiliki 10 unit rumah sewa dan dokumen itu diperlukan untuk melakukan urusan pindah milik harta di antaranya serta adik lelakinya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan kepada Warga Emas Nur Ehsan di Jalan Denai 1, Kempas anjuran Yayasan Lace Motor.
Hadir menyampaikan sumbangan baju dan biskut raya pemilik Yayasan Lace Motor, Datuk Rokiah Omar dan Pengurus Lace Motor, Datuk Yahaya Jaafar.
Sementara itu, anak perempuan warga emas itu ketika dihubungi enggan mengulas berkaitan kejadian menimpa arwah bapanya.
Harian Metro

Fitnah, rasis, cemarkan Ramadhan




Hanya beberapa hari saja lagi Ramadhan Kareem tahun ini akan melabuhkan tirainya. Mereka yang penuh takwa, yang merasakan nikmat dan indahnya Ramadhan, kepergian bulan mulia ini diiringi dengan air mata – entah berjumpa lagi atau tidak tahun depan.
Sepanjang Ramadhan ini, majlis dan surau terutama di bandar, meriah dan makmur dengan kehadiran jamaah yang melimpah – lebih dari biasa – bersolat tarawikh, bertadarus, qiamul-lail dan segalanya. Lebih lagi dengan menunggu ketibaan malam Lailatul-Qadr.
Demikianlah mereka mendakap Ramadhan Kareem dengan penuh khusyuk, di mana masjid dan surau menjadi distinasi utama untuk beribadah. Itulah wajah umat yang berusaha untuk mencapai keredhaan Allah s.w.t.
Tetapi malangnya, di luar masjid, terutama di dunia politik, keadaan jauh berbeza dengan suasana di rumah Allah itu. Dunia politik tanah air, walaupun dibulan Ramadhan, ia terus menerus diselubungi suasana fitnah, perkauman yang seru, penyelewengan, tipu daya, perlakuan orang-orang yang sempit fahaman agamanya, malah keadilan Islam menjauh.
Semuanya ini adalah sampah saraf dan kotoran yang memudaratkan manusia pada ketika umat yang benar-benar mencari keredhaan Allah s.w.t. menjalankan ibadah Ramadhan yang murni itu.
Fahaman Islam yang sempit disebabkan kejahilan, kekeliruan dan mungkin juga dikeranakan oleh kepentingan duniawi adalah gejala yang merosakkan kesyumulan Islam yang menuntut umatnya bersikap wasatiyyah – sederhana, seimbang, adil dan menjadi saksi antara manusia dan Rasul pula menjadi saksinya.
Yang lebih mengerikan ialah suasana fitnah yang marak menyala, beriringan dengan suara dan aksi perkauman yang sangat mengerikan, seolah-olah ia menjadi budaya masa kini. Pada hal Islam menentang keras segala bentuk perkauman kerana ia suatu kezaliman. Malah Nabi s.a.w. sendiri dalam hadisnya mengatakan tidak mengaku umatnya mereka yang meniupkan perkauman.
Fitnah yang tajam dan hasutan begitu berleluasa untuk menghancurkan musuh politik dengan apa carapun – baik melalui siaran media cetak, temu ramah, tayangan video, media on-line, blog, majlis parti politik dan pelbagai lagi. Lebih-lebih lagi menjelag pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.
Seolah-olah pelaku yang meniupkan fitnah, hasutan dan perkauman yang tajam ini tidak terikat dengan batas hukum, undang-undang, etika moral dan kemanusiaan. Mereka melakukan dengan cara ‘membujur lalu melintah patah’. Seolah-olah dunia politik adalah medan untuk melakukan segalanya demi untuk kuasa.
Tiupan perkauman yang kencang – melaga-lagakan antara kaum dan parti politik menjadi phenomena terkini dan nampaknya tidak ada tanda-tanda akan berhenti.
Ternyata politik survival of the fittes dan konsep politik Machiavelli – tujuan menghalalkan cara – menjadi amalan pelaku politik secular ini. Dalam keadaan begini – yang berlaku walaupun di bulan Ramadhan – member gambaran seolah-olah tidak ada tempat untuk memikirkan dosa pahala.
Dalam suasana yang gawat ini, golongan intelektual, malah sesetengah agamawan juga membisu seribuh bahasa. Malah lebih malang lagi ada pula segolongan kecil mereka ini yang ikut serta ‘merancakkan’ suasana seperti ini, sama ada mereka sedar ataupun tidak.
Disebabkan kegawatan ini, tentu saja ada yang bertanya, di mana roh dan semangat Ramadhan. Di mana sentuhan kekudusan Ramadhan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran dan Lailatul Qadr. Di mana perginya jati diri Melayu/Islam, kalau adapun jati diri mereka. Jelaslah bahawa politik secular memungkinkan semuanya ini berlaku.
Oleh itu, sungguh malang, negara Melaysia yang akan menyambut 55 tahun merdeka di selubungu suasana yang sedemikian rupa. Ini adalah ‘penyakit’ yang sangat merbahaya sedang menyerang tubuh umat di negeri ini.
Kita akan menyambut Edul-fitri dalam dalam dua tiga hari lagi dan selepas itu akan menyambut ulang tahun ke 55 kemerdekaan negara ini, tetapi sungguh malang ia akan disambut dalam suasana yang sedemikian rupa.
Di sinilah, menurut pendapat saya, para pendukung gerakan Islam dan politik Islam seperti PAS menggandakan usaha mereka untuk menjernihkan semula suasana yang kotor dan memudaratkan ini.
Saya percaya masih ramai lagi umat Islam yang prihatin, para intelektual dan ulama yang berwibawa, sedang berusaha membetulkan kerosakan dalam masyarakat ini. Walaupun usaha ini amat sukar, tetapi ini sebenarnya adalah jihad menentang kemungkaran. Tentunya fitnah, hasutan, perkauman yang sempit dan seumpamanya ini adalah kemungkaran.
Edul-Fitri yang akan kita sambut ini hanya bermakna jika segala kemungkaran – terutama di pentas politik ini – dapat dibersihkan. Inilah cabaran yang sangat besar dihadapi oleh umat dan mari kita memanjatkan doa semoga Allah s.w.t menyelamatkan negara dan umat ini.
Allahu Akbar! Allahhu Akbar! Allahhu Akbar!
Selamat Menyambut Edul-Fitri, maaf zahir batin
Abdul Shukur Harun

12.8.12

Mencari Lailatul Qadar di Mekah




PENGERUSI Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Daud Che Ngah tidak asing lagi dengan bumi Mekah, Arab Saudi.
Dia berpengalaman selama berpuluh tahun menguruskan ribuan jemaah umrah dan haji dari negara ini. Malah, beliau sempat menyambut Hari Raya Aidilfitri di sana pada tahun 2001.
Tutur Mohd. Daud, suasana menyambut 10 malam terakhir bulan Ramadan di Mekah lebih meriah berbanding sambutan Aidilfitri sendiri.
ni kerana umat Islam dari seluruh dunia mengejar malam Lailatul Qadar yang ganjaran pahalanya lebih baik daripada 1,000 bulan. Lailatul Qadar merupakan satu malam daripada malam-malam bulan Ramadan.
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: “Sesiapa yang berdiri (solat) pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala daripada Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Selain itu, baginda juga pernah menceritakan malam al-Qadar adalah malam yang indah, penuh kelembutan, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin.
Pada keesokan harinya pula sinar matahari kelihatan lemah kemerah-merahan.

SELAIN musim haji, kota Mekah yang penuh berkat ini gemar dikunjungi pada bulan Ramadan.MASJIDIL HARAM akan dipenuhi umat Islam sepanjang malam untuk bertarawih dan qiamulail.


Sambut raya
“Biasanya 10 malam terakhir Ramadan sehingga 1 Syawal merupakan cuti umum di Arab Saudi bertujuan menggalakkan umat Islam beribadat dengan bersungguh-sungguh.
“Malah, ada orang Arab yang menyewa bilik hotel selama sebulan khusus untuk tujuan itu,” katanya kepada Jurnal.
Mohd. Daud berkata, antara amalan yang dilakukan pada masa itu ialah solat wajib disertai ibadat solat sunat tarawih di Masjidil Haram atau masjid-masjid berhampiran.
“Solat tarawih dilakukan sebanyak 20 rakaat bermula pukul 9 malam dan berakhir dua jam kemudian. Tetapi kebiasaan ramai yang menunggu untuk melakukan solat sunat tahajud secara berjemaah.
“Mereka akan membaca al-Quran atau iktikaf di masjid. Keadaannya seperti solat Jumaat,” jelasnya.
Mohd. Daud memberitahu, soal makanan untuk berbuka tidak menjadi satu masalah kerana ramai pihak yang mendermakan kurma, manisan serta air zamzam di sekitar masjid di Mekah dan Madinah.
“Makanan sentiasa mencukupi tetapi sebenarnya makanan tidak menjadi isu kerana semua jemaah menumpukan pada ibadat wajib dan sunat semata-mata,” ujarnya.
LEBIH sejuta umat Islam menunaikan umrah pada bulan Ramadan bagi merebut ganjaran pahala berganda.

Bercerita mengenai sambutan hari raya di Kota Suci itu, solat sunat Aidilfitri bermula lebih kurang pukul 7 pagi. Waktu Subuh di Rumah Allah itu ialah sekitar pukul 5 pagi.
“Mereka mengadakan solat itu lebih awal bagi mengelakkan bahang panas matahari. Secara praktikal tidak banyak bezanya kerana sebaik sahaja solat sunat selesai umat Islam akan bersalam-salam dan berpelukan antara satu sama lain.
“Kemudian terdapat sesi jamuan makanan dan minuman seperti manisan, karipap dan air zamzam,” katanya.
Amalan menziarahi saudara-mara akan dilakukan selepas solat.
Keesokan harinya, sebahagian besar penduduk Arab Saudi akan berpuasa enam.
“Bagi rakyat negara ini yang berkesempatan menyambut Aidilfitri di Mekah, pihak Andalusia akan menyediakan nasi himpit dan sate yang diterbangkan khas dari Malaysia.
“Selain itu, kuih raya seperti tart nanas, semperit dan baulu turut disediakan bagi mengubat kerinduan terhadap makanan tradisi seperti rendang daging, ketupat dan lemang,” katanya.
Jemaah Malaysia juga boleh menikmati sajian Arab seperti nasi mandy pada pagi Aidilfitri.
Bayar zakat
Seorang lagi pengendali syarikat yang menawarkan pakej umrah dan haji, Abdul Halim Abdullah memberitahu, kebanyakan jemaah umrah mengambil kesempatan menunaikan zakat fitrah di Mekah.
“Mereka akan memberikan terus kepada orang miskin yang ada di sana berbentuk secupak beras. Soal itu tidak menjadi masalah kerana banyak pekedai yang menawarkan pembelian berbentuk sedemikian,” katanya.

MASJIDIL HARAM akan dipenuhi umat Islam sepanjang malam untuk bertarawih dan qiamulail.

Malah, kesempatan bertemu dengan umat Islam seluruh dunia satu peluang yang baik untuk berkenal-kenalan dan bermesra antara satu sama lain.
“Pelbagai cerita yang kita dengar selain maklumat terkini umat Islam yang menderita di seluruh dunia seperti di Afghanistan, Syria dan Myanmar,” ujarnya.
Bagi Mariam Abdul pula, kesempatan menunaikan umrah pada tahun 2010 lalu selain menyambut Aidilfitri pasti tidak akan dilupakan.
“Cukup selesa dengan tumpuan semata-mata untuk mengerjakan ibadat. Selain itu, peluang untuk memperoleh pahala dengan bersedekah cukup banyak.
“Kebiasaannya saya akan membeli sejadah untuk disedekahkan kepada jemaah yang bersolat di jalan raya,” beritahu Mariam.
Ujarnya, selain itu ramai yang membeli al-Quran untuk diwakaf di beberapa buah masjid.
-Kosmo-



Sejarah warna Kiswah Kaabah




Pada ka’bah kita sering melihat adanya Kiswah (kain / selimut hitam penutup Kaabah). Tujuan dari pemasangan kain itu adalah untuk melindungi dinding ka’bah dari kotoran, debu, dan panas yang boleh membuatnya menjadi rosak. Selain itu kiswah juga berfungsi sebagai hiasan ka’bah.
Menurut sejarah, Kaabah sudah diberi kiswah sejak zaman Nabi Ismail AS, putra Nabi Ibrahim AS. Namun tidak ada catatan yang menyatakan kiswah pada zaman Nabi Ismail diperbuat daripada apa dan berwarna apa. Baru pada masa kepemimpinan Raja Himyar Asad Abu Bakr dari Yaman, disebutkan kiswah yang melindungi Kaabah diperbuat daripada kain tenunan.
Polisi Raja Himyar untuk memasang kiswah sesuai dengan tradisi Arab yang berkembang sejak zaman Ismail as diikuti oleh para penerusnya. Pada masa Qusay bin Kilab, salah seorang leluhur Nabi Muhammad yang terkemuka, pemasangan kiswah pada Kaabah menjadi tanggung jawab masyarakat Arab dari suku Quraisy.
Nabi Muhammad SAW sendiri juga pernah memerintahkan pembuatan kiswah dari kain yang berasal dari Yaman. Sedangkan empat khalifah penerus Nabi Muhammad yang termasuk dalam Khulafa al-Rasyidin memerintahkan pembuatan kiswah daripada kain benang kapas.
Sementara itu, pada era kekhalifahan Abbasiyah, Khalifah ke-4 al-Mahdi memerintahkan supaya kiswah dibuat daripada kain sutera Khuz. Pada masa pemerintahannya, kiswah didatangkan dari Mesir dan Yaman.
Menurut catatan sejarah, kiswah tidak semestinya berwarna hitam pekat seperti saat ini. Kiswah pertama yang dibuat dari kain tenunan Yaman berwarna merah dan berjalu-lajur. Sedangkan pada masa Khalifah Mamun ar-Rasyid, kiswah dibuat dengan warna dasar putih. Kiswah juga pernah dibuat berwarna hijau atas perintah Khalifah an-Nasir dari Bani Abbasiyah (sekitar abad 16 M) dan kiswah juga pernah dibuat berwarna kuning berdasarkan perintah Muhammad bin Sabaktakin.
Penggantian kiswah yang berwarna-warni dari tahun ke tahun, rupanya mengusik benak khalifah al-Mamun dari Dinasti Abbasiyah, hingga akhirnya memutuskan bahawa sebaiknya warna kiswah itu tetap dari masa ke semasa iaitu hitam. Hingga saat ini, kiswah diganti setiap tahun, tetapi warnanya tetap hitam.
Pada era keemasan Islam, tanggung jawab pembuatan kiswah selalu dilakukan oleh setiap khalifah yang sedang berkuasa di Hijaz, Arab Saudi pada setiap masanya. Kiswah selalu menjadi tanggung jawab para khalifah, beberapa raja di luar tanah Hijaz pernah menghadiahkan kiswah kepada pemerintah Hijaz.
Dulu, kiswah yang diperbuat daripada sutera hitam pernah didatangkan dari Mesir yang biayanya diambil dari Pemerintahan Kerajaan Mesir. Tradisi penghantaran kiswah daripada Mesir ini bermula pada zaman Sultan Sulaiman yang memerintah Mesir pada sekitar tahun 950-an H sampai masa pemerintahan Muhammad Ali Pasya sekitar akhir tahun 1920-an.
Setiap tahun, kiswah-kiswah indah yang diperbuat di Mesir itu dihantar ke Makkah melewati jalan darat menggunakan tandu indah yang disebut mahmal. Kiswah beserta hadiah-hadiah lain di dalam mahmal datang bersama rombongan haji dari Mesir yang diketuai oleh seorang amirul hajj.
Amirul hajj itu dilantik secara rasmi oleh pemerintah kerajaan Mesir. Dari Mesir, setelah upacara serah terima, mahmal yang dikawal tentera Mesir berangkat ke terusan Suez dengan kapal khusus hingga ke Pelabuhan Jeddah. Setibanya di Hijaz, mahmal tersebut diarak dengan upacara yang sangat meriah menuju ke Mekah.
Penghantaran kiswah dari Mesir pernah terlambat hingga awal bulan Zulhijjah. Hal itu berlaku selepas meletusnya Perang Dunia I. Kelewatan penghantaran kiswah terjadi akibat suasana yang tidak selamat dan kondusif akibat Perang Dunia I.
Melihat situasi yang kurang baik pada saat itu, Raja Ibnu Saud (pengasas Kerajaan Arab Saudi) mengambil keputusan untuk segera membuat kiswah sendiri mengingat pada tarikh 10 Zulhijjah, kiswah lama harus diganti dengan kiswah yang baru. Usaha tersebut berjaya dengan pendirian syarikat tenun yang terdapat di Kampung Jiyad, Mekah.
Selepas Perang Dunia I berakhir, Raja Farouq I dari Mesir kembali mengirimkan kiswah ke tanah Hijaz. Namun melihat akan pelbagai situasi pada saat itu, pemerintah Kerajaan Arab Saudi di bawah Raja Abdul Aziz Bin Saud memutuskan untuk membuat kilang kiswah sendiri pada 1931 di Makkah. Hingga akhirnya kiswah dibuat di Arab Saudi hingga saat ini.
Kain kiswah mempunyai keunikan dan keunggulan yang tersendiri. Pintalan-pintalan benang berwarna emas mahupun perak bersatu padu merangkai barisan kalam Ilahi. kiswah menjadi sangat berharga, bukan hanya kerana firman-firman Allah SWT yang suci yang dipintal pada kiswah, tetapi juga kerana keindahan dan eksotisme pintalan benang berwarna emas dan perak di permukaannya.
Perpaduan warna emas dan perak pada kaligrafi yang menghiasi kiswah tersebut memiliki nilai seni yang luar biasa. Sebab pembuatannya memerlukan skill dan bakat yang luar biasa kerana tidak semua orang mampu membuat seni seindah itu. Kiswah merupakan simbol kekuatan, kesederhanaan juga keagungan.

ADAB BERBUKA PUASA MENURUT SUNNAH



Hari ini Kalam Abu Musaddad ingin berkongsi dengan pembaca budiman berkaitan dengan adab-adab ketika berbuka puasa menurut sunnah. Di mana Rasulullah SAW telah mengajar umatnya beberapa adab yang perlu diberi perhatian ketika berbuka puasa. Antara adab-adab itu ialah:
1. Membaca doa
Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa, Nabi SAW akan membaca : Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala.ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
(Dzahabaz zhoma u wabtallatil ‘uruuqu wa thabatal ajru insyaallah) – Hadis riwayat Abu Dawud
Abdullah Ibn ‘Umar r.a berkata: “Apabila berbuka puasa bacalah: Ya Allah! sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي
(Allahumma inni as aluka birahmatikal lati wasi’ta kulla syai in an taghfirali)” – Hadis riwayat Ibn Majah
Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana di antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa. Sabda Rasulullah SAW :
“Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.” – Hadis riwayat Ibn Majah
2. Menyegerakan Berbuka Puasa.
Disunnahkan juga kita menyegerakan berbuka puasa. Waktu paling afdal ialah ketika matahari mula terbenam atau dilaungkan azan Maghrib. Utamakan berbuka dari sibuk berzikir, membaca al-Quran atau ibadah lain kerana perintah Nabi s.a.w. Rasulullah SAW bersabda:
“Manusia akan sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka sentiasa menyegerakan berbuka puasa.” – Hadis riwayat al-Bukhari
Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT telah berfirman maksudnya :
“Sebaik-baik hamba-ku menurut pandangan-Ku ialah orang yang menyegerakan berbuka puasa.” – Hadis riwayat al-Tirmizi
3. Berbuka Puasa Dengan Buah Rutab, Tamar Atau Air.
Rutab adalah buah kurma yang masak dan tidak dikeringkan. Ia lembut dan manis. Tamar pula adalah buah kurma yang telah dikeringkan sebagaimana yang banyak terjual di pasaran. Berbuka puasa dengan buah rutab, tamar atau air merupakan sunnah Nabi SAW Anas bin Malik r.a berkata:
“Rasulullah s.a.w berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air.” – Hadis riwayat Imam al-Tirmizi
4. Bersegera Mengerjakan Solat Maghrib.
Hadis di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah s.a.w juga menyegerakan solat Maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air. Namun, sekiranya makanan malam telah terhidang disunnahkan menjamah makan malam terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solatMaghrib. Sabda Rasulullah SAW :
“Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan solat (jemaah) telah didirikan, utamakan makan malam. Janganlah seseorang itu tergopoh-gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah dia selesai dalam keadaan tenang.” – Hadis riwayat al-Bukhari
Menurut Imam al-Nawawi : “Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.”
5. Berbuka Puasa Secara Sederhana.
Firman Allah SWT :
“Wahai Bani Adam! Pakailah pakaian kamu yang indahsetiap kali kamu ingin ke tempat ibadat (mengerjakan solat) dan makan minumlah serta janganlah kamu melampau. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampaui batas.” – Surah al-A’raaf : Ayat 31
Perlu diingatkan bahawa janganlah waktu berbuka puasa dijadikan medan untuk kita melepas geram kerana sehari suntuk tidak menjamah makanan atau minuman. Sewajarnya, ibadah puasa dijadikan medan untuk melatih jiwa seorang muslim yang bertakwa lagi penyabar direalisasikan ketika berbuka puasa dengan memakan makanan pada kadar yang tidak berlebihan. Sabda Nabi SAW :
“Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak mustahail (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” – Hadis riwayat al-Tirmizi
6. Menjamu Makanan Untuk Berbuka Bagi Orang Berpuasa.
Sesungguhnya Islam menganjurkan umatnya mengadakan majlis berbuka puasa untuk menjamu makan bagi mereka yang berpuasa terutamanya kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim dan mereka yang ditimpa musibah. Firman Allah SWT :
“Mereka juga memberi makan sebarang makanan yang dihajati dan disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan (sambil berkata dengan lidah atau hati): Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu semata-mata kerana Allah dan kami langsung tidak inginkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih.” – Surah al-Insan: 8-9.
Menjamu makan untuk berbuka puasa telah dijanjikan dengan ganjaran pahala yang begitu besar. Semakin ramai jumlah orang yang dijamu makan, semakin tinggilah jumlah gandaan pahalanya. Sabda baginda SAW :
“Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit.” – Hadis riwayat al-Tirmizi.